PUTRAJAYA, 18 Ogos – Buat julung kalinya telah berlangsung Festival Antar Budaya yang penuh gilang -gemilang di Library Auditorium, UNITEN. Festival yang melibatkan semua pelajar subjek Hubungan Etnik dengan kerjasama Persatuan Pelajar Kelompok Murni (PPKM) merupakan satu titik pertemuan kepelbagaian budaya dan adat istiadat dalam kalangan pelajar UNITEN yang berbilang kaum dan agama. Konsep kebudayaan yang diketengahkan dalam festival tersebut telah menjadi platform yang baharu untuk semua pelajar UNITEN mempelajari budaya dan adat istiadat kaum yang berlainan sekaligus merapatkan jurang persefahaman antara kaum di Malaysia.
Majlis tersebut yang bermula seawal 3.00 petang telah dirasmikan oleh Puan Aniza Binti Mohamed Nor,Pengetua Kelompok Murni. “Kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pelajar subjek Hubungan Etnik dan Persatuan Pelajar Kelompok Murni merupakan perkembangan yang sangat bagus dalam usaha untuk menyemarakkan semangat hidup bermasyarakat di alam universiti”, katanya dalam ucapan perasmian Festival Antar Budaya 2017.
Beliau juga juga berharap agar festival tersebut mendapat penyertaan lebih ramai pelajar UNITEN pada masa akan datang dan program tersebut dapat diteruskan oleh generasi akan datang. Festival tersebut juga turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu daripada staf-staf UNITEN, pensyarah dan para pelajar.
Acara diteruskan dengan persembahan pembukaan adat istiadat daripada pelajar subjek Hubungan Etnik. Antara persembahan yang menggamit memori tersendiri ialah adat istiadat perkahwinan Melayu, Cina dan India, persembahan seni kraftangan dan permainan tradisional.

Pada sebelah malam, festival tersebut telah diserikan dengan lampu yang berwarna-warni dan hiasan yang terdiri daripada pelbagai elemen yang berkonsepkan kebudayaan. Para tetamu berasa sangat teruja dan tidak melepaskan peluang untuk menonton 6 filem pendek berkisarkan tentang kebudayaan yang dipertandingkan pada malam tersebut. Seterusnya, para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan khas nyanyian ‘Bahtera Merdeka’ dendangan Cik Misya Qamarina.
Ucapan penutupan telah disampaikan oleh Yang Mulia Prof. Madya Dr. Tengku Fadilah Tengku Kamalden, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia.
”Sikap toleransi dan kerjasama amatlah penting untuk hidup dalam masyarakat yang majmuk agar dapat mengelakkan perselisihfahaman dan pergaduhan. Para pelajar perlulah melihat kebudayaan kaum lain dari sudut positif dan saling melengkapi antara satu sama lain.” Ujar beliau
“Pelajar-pelajar yang merupakan nukleus kepada UNITEN hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat sekeliling”, tambah beliau dalam ucapan tersebut.
Debaran kian terasa apabila majlis penyampaian 11 anugerah kepada para pemenang diumumkan sejurus ucapan penutupan tersebut selesai. Anugerah Poster Terbaik dimenangi oleh filem Bangkit, Anugerah Sitkom Terbaik dimenangi oleh filem Kari Kenduri Kami, Anugerah Khas Juri dimenangi oleh filem 1 Keluarga 1 Malaysia, Anugerah Lakonan Terbaik dimenangi oleh filem Seru Hati, Anugerah Kreativiti Terbaik dimenangi oleh filem Usai Senja Terang Semula, Anugerah Jalan Cerita Terbaik dimenangi oleh filem 225, Anugerah Sinematografi Terbaik dimenangi oleh filem Hati Merah, Anugerah Arahan Terbaik dimenangi oleh filem Mulia Budi.

Pada masa yang sama, untuk kategori persembahan kebudayaan telah dijuarai oleh tarian Rentak Harmoni manakala persembahan adat istiadat pula dimenangi oleh perkahwinan India. Majlis pada malam tersebut telah diakhiri dengan sesi bergambar bersama semua pemenang.
Menurut Soo Mei Teng yang juga merupakan mantan presiden PPKM sesi 16/17, beliau menyatakan bahawa festival tersebut merupakan program yang besar dan menjadi kayu ukur yang sangat baik untuk program-program seterusnya pada masa hadapan.
“Festival Antar Budaya memberikan banyak impak yang positif terhadap PPKM terutamanya untuk menaikkan nama kelompok Murni sendiri serta memberikan peluang kepada ahli-ahli jawatankuasa yang baharu untuk menimba pengalaman dalam pengurusan sesebuah majlis”, kata Umi Farhanim Othman, Presiden PPKM sesi 17/18.

Disediakan oleh : Nur Syazwani Binti Jamaludin