PUTRAJAYA, 21 MEI – Lebih 1000 pelajar lepasan SPM dan institusi pendidikan tinggi Malaysia telah mula mendaftar di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) harini, dengan lebih 860 pelajar di kampus Putrajaya dan selebihnya di kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah, Pahang.
Menurut Naib Canselor UNITEN, Prof. Ir. Dr Kamal Nasharuddin Mustapha, kemasukan pelajar kali ini adalah lebih banyak dari tahun sebelumnya dan dijangka akan bertambah sehingga pengambilan semester Mei 2016 ini ditutup pada bulan Jun nanti.
“Sejajar dengan peningkatan pelajar baru seperti ini, kami sedang giat menjalankan pelan pembangunan universiti untuk menyediakan prasarana yang terbaik untuk kemudahan para pelajar untuk belajar dalam suasana yang kondusif,” ujarnya, seraya mengumumkan pelan menambahbaik fasiliti internet pelajar daripada 1.67Gb/s kepada 10Gb/s.
Pelan pembangunan ini yang telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu kini telah mencapai beberapa fasa sehingga 2020, dan kini sedang menunggu kelulusan dari induknya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memanjangkan tempoh tersebut sehingga 2025.
Utamakan pembangunan holistik
UNITEN selain menekankan pembangunan akademik pelajar turut menyokong kegiatan pelajar dalam sukan, dan ini dapat dilihat baru-baru ini semasa upacara pecah tanah projek pembinaan dewan serbaguna di kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah yag dirasmikan pengerusi TNB sendiri, Tan Sri Leo Moggie.
“Kami berhasrat dengan pembentukan pelajar yang serba boleh dalam semua bidang seperti ini dapat menarik minat lebih banyak badan-badan kerajaan dan korporat untuk menaja pelajar ke UNITEN,” tambahnya lagi.
Terdapat lebih 40 penaja yang telah menghatar pelajar untuk melanjutkan pelajaran di UNITEN dengan majoriti daripada Yayasan Tenaga Nasional, yang turut menawarkan pelbagai faedah kepada penerima tajaan seperti “mobility program” selama 1-2 tahun untuk pelajar yang terpilih untuk menyambung pelajaran di beberapa university terkemuka di luar negara.
Penekanan terhadap R&D
“Sebagai sebuah university kami tidak lari dari menekankan bidang kajian sebagai fokus utama, kerana manfaatnya bukan sahaja dapat dirasai oleh pelajar bahkan kepada masyarakat sekeliling,” tambahnya selain menekankan kewujudan beberapa pusat kajian di peringkat universiti dalam bidang kejuruteraan dan infrastruktur tenaga, kajian dan polisi serta informatik yang telah pun memenangi anugerah berprestij dalam dan luar negara dalam bidang kajian masing-masing.
Pusat-pusat kajian ini telah pun menerima geran dan akses daripada TNB tahun ini untuk menjalankan beberapa kajian termasuklah dalam membantu bencana alam di muka bumi Malaysia dan negara-negara jiran.
Kursus selari dengan permintaan semasa
Menurut En Zabidi Tasir, bapa kepada salah seorang pelajar baru UNITEN, kursus yang ditawarkan di UNITEN adalah sejajar dengan perkembangan teknologi semasa dan menjadi salah satu faktor utama beliau menyokong kemasukan anaknya ke UNITEN.
“Kejuruteraan sains komputer sentiasa berkembang dan penting untuk generasi akan datang untuk menjurus dalam bidang teknologi seperti ini, selain mengikuti permintaan pasaran pekerjaan tempatan sekarang yang menekankan kebolehan dalam pembangunan teknologi,” ujarnya.
UNITEN kini masih mengekalkan prestasi peratusan pelajar diambil bekerja pada 97% sejak awal penubuhannya pada tahun 1997.