
PUTRAJAYA, 29 JULAI – Bertepatan dengan tema Aidilfitri iaitu merapatkan hubungan silaturrahim antara saudara-mara dan jiran tetangga, Universiti Tenaga Nasional melalui Yayasan Tenaga Nasional dan Institut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS) telah mengadakan rumah terbuka Aidilfitri yang dihadiri ribuan pengunjung yang rata-ratanya merupakan penduduk sekitar universiti tersebut.
Acara yang dinamakan Majlis Mesra Aidilfitri UNITEN, YTN, ILSAS; Bersama Komuniti Setempat 2016 itu telah diadakan di perkarangan Masjid UNITEN yang sering kali dikunjungi umat Islam terutamanya untuk menjalankan Solat Jumaat setiap hari Jumaat.
“Program sebegini bukan sahaja boleh menjalinkan muafakat yang kuat dan utuh malahan juga dapat melahirkan masyarakat yang harmoni, terutamanya masyarakat yang tinggal di kawasan sekitar Kg Abu Bakar Baginda ini,” ujar Yang Berhormat Tuan Shahrum Mohd Sharif, Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Dengkil yang telah merasmikan upacara tahunan tersebut.
“Walaupun perbelanjaannya besar namun manfaat yang dikecapi adalah lebih bermakna dan saya mengalu-alukan inisiatif sebegini untuk dilaksanakan setiap tahun,” tambah beliau lagi.
Turut hadir memeriahkan majlis ini adalah Naib Canselor UNITEN, Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha dan barisan lembaga pentadbiran universiti yang turut memberikan sumbangan duit raya kepada anak-anak staf UNITEN dan ILSAS.
Acara yang berlangsung sejak pagi ini tiba ke kemuncaknya selepas solat Jumaat apabila kaum muslimin selesai menunaikan solat fardhu Jumaat.

