UNITEN Juara Debat Belia 2.0 !

 

Hadiah Wang Tunai, Piala Iringan beserta Piala Pusingan
Hadiah Wang Tunai, Piala Iringan beserta Piala Pusingan

29 NOVEMBER, BANGI – Pasukan Debat Bahas Bahasa Melayu Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) telah berjaya meraih gelaran Juara pada Pertandingan Debat Terbuka Belia 2.0 dengan tema “Belia Di Persada Antarabangsa” anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berlangsung pada 25 hingga 28 November 2016 bertempat di Fakulti Kejuruteraan Alam Bina.

Sebanyak 33 buah pasukan telah bertanding dalam Pertandingan Debat Terbuka Belia 2.0 dan UNITEN telah berjaya memenangi empat daripada enam pusingan dan seterusnya melayakkan diri ke peringkat suku akhir. Kronologi kemenangan pasukan Uniten berterusan pada pusingan suku akhir di mana pasukan UNITEN telah berjaya mengalahkan juara liga iaitu dari Universiti Malaya (UM) dan seterusnya berentap di pusingan separuh akhir. Pasukan UNITEN sekali lagi mengorak langkah kemenangan apabila berjaya mengalahkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada peringkat separuh akhir dan mempertemu UNITEN serta UiTM Shah Alam di pentas akhir Pertandingan Debat Terbuka Belia 2.0. Pertandingan akhir ini telah berlangsung di Dewan Persada Canselori UKM.

Perlawanan akhir dan majlis penutup Debat Terbuka Belia 2.0 telah dirasmikan oleh Yang Amat Mulia Tunku Zain Al – ‘Abidin Ibni Tuanku Mukhriz yang merupakan Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni  UKM iaitu Yang Berbahagia Prof. Dato’ Noor Aziah Hj Mohd Awal, Yang Di-Pertua Dewan iaitu Zainal Asnawi Asyraf Zainal Abidin dan penampilan khas sebagai pengara majlis pada pentas akhir iaitu Hans Yusoff daripada Astro Awani.

Pasukan UNITEN terdiri daripada kedua kampus Putrajaya dan kampus Sultan Haji Ahmad Shah yang diwakili oleh Ahmad Haziq B Ahmad Rozalan, Adhwa’ Afnan Hafiy B Abd Sani, Muhd Amirul B Rosli dan Mustafa Arief B Mohd Nasir. Pasukan Uniten berjaya membawa pulang wang bernilai 2500 Ringgit Malaysia beserta piala iringan dan piala pusingan. Pendebat Terbaik Keseluruhan dianugerahkan kepada Adhwa’ Afnan Hafiy B Abd Sani juga dari UNITEN dan membawa pulang wang benilai 180 Ringgit Malaysia dan Piala Iringan.

 

Pasukan UNITEN bersama ahli kelab dan penasihat kelab Debat Bahas Bahasa Melayu
Pasukan UNITEN bersama ahli kelab dan penasihat kelab Debat Bahas Bahasa Melayu. Pasukan UNITEN memakai Baju Melayu hitam duduk ketiga dari kiri Mustafa, Haziq, Amirul Rosli dan Adhwa’.

 

Ditulis oleh : Nur Syafiqah Binti Norshah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *