
PUTRAJAYA, 21 JUN – Lebih 170 asnaf yang terdiri daripada pelajar, fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim telah diraikan dalam satu majlis di masjid Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) hari ini.
Iftar Perdana UNITEN anjuran Tabung Amanah Zakat UNITEN (TAZU) dengan kerjasama UNITEN sendiri adalah acara tahunan yang telah diadakan sejak awal penubuhan TAZU pada 2010.
“Sejak acara pertama yang diadakan pada 2012, tujuan kami tetap untuk meraikan asnaf seperti fakir miskin dan pelajar cemerlang sebagai salah satu cara agihan semula kepada masyarakat,” ujar Prof Madya Dr. Adnan Yusof, Pengarah TAZU.
Antara sumbangan yang dihulurkan dalam upacara itu adalah Dermasiswa Pelajar Cemerlang kepada 178 asnaf yang berbentuk insentif sebanyak RM1000 bagi pelajar ijazah dan RM700 kepada penuntut diploma yang mencapai keputusan CGPA yang cemerlang.
“Ini adalah sebagai galakan kepada pelajar UNITEN untuk terus cemerlang dalam bidang akademik,” tambahnya lagi.
Upacara itu turut menyaksikan penyerahan biasiswa kepada 6 penuntut Huffaz Professional di UNITEN, antara institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus tahfiz kejuruteraan dengan masing-masing menerima RM 198,470 untuk sepanjang pengajian mereka di UNITEN.
Selain pelajar, TAZU turut meraikan 305 pekerja-pekerja rencam UNITEN, TNB Integrated Learning Solution (ILSAS) dan TNB Research yang masing-masing menerima minimum RM500 sebagai sumbangan persediaan Aidilfitri yang bakal tiba.
Menurut Naib Canselor UNITEN, Yang Berbahagia Prof Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha, ini juga adalah sebagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dikelolakan pihak Komunikasi dan Komunikasi Korporat UNITEN yang menyaksikan penyerahan sumbangan kepada 5 ibu tunggal yang tinggal di sekitar Selangor dan juga rumah anak yatim As-Solihin, Banting.
“Acara ini turut diadakan di UNITEN Kampus Muadzam Shah dan akan menjadi acara tahunan UNITEN pada setiap Ramadan,” ujar beliau.
Penerima lain termasuk asnaf Ibnussabil, badan-badan bukan kerajaan seperti Islamic Relief dan Pusat Dakwah Serantau dengan jumlah keseluruhan melebihi RM600,000.
Pada tahun 2014/15, Lembaga Zakat Selangor telah mencatatkan kutipan zakat sebanyak RM6.65juta dengan jumlah agihan sebanyak RM2.91juta.
Prof Madya Dr. Adnan Yusof (kiri) dan Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha bersama salah seorang penerima biasiswa Tabung Amanah Zakat UNITEN

