SMU lancar #KITAUNITEN – Pupuk semangat kebersamaan

\"\"

PUTRAJAYA, 31 OKTOBER – Cetusan idea kempen #KITAUNITEN yang lahir daripada ilham dan inisiatif Skuad Media Uniten dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar telah mendapat sokongan  pihak pengurusan tertinggi universiti serta beberapa pihak yang lain. Inspirasi ini telah dijayakan dengan Majlis Pra Pelancaran dan Sidang Media Kempen #KITAUNITEN yang berlangsung di Pusat Pelajar Uniten. Majlis yang dihadiri  pihak pengurusan tertinggi Uniten, staf – staf dan para pelajar dilihat dapat memberikan impak yang sangat positif terhadap pelancaran kempen tersebut.

Objektif utama kempen #KITAUNITEN adalah untuk memupuk semangat cinta akan universiti, semangat kebersamaan dan kesatuan dalam pelbagai aspek ke tahap yang lebih profesional terutama dalam kalangan warga universiti. Antara panel yang terlibat dengan sidang media itu ialah saudara Amar Amjad, Mantan Presiden MPP sesi 16/17, saudara Syafiq Zhafri, Direktor Skuad Media Uniten dan saudara Roshan Charles Razali, Presiden MPP.

Dalam pada itu, kempen #KITAUNITEN juga dilancarkan bertujuan untuk menggalakkan penglibatan lebih ramai para pelajar dan staf UNITEN tanpa mengira lapisan umur dan bangsa supaya menyertai pelbagai aktiviti menarik yang akan dianjurkan pada masa hadapan dalam usaha merealisasikan matlamat utama kempen tersebut. Kempen tersebut bakal dilaksanakan secara holistik dan berstruktur selama 6 bulan iaitu bermula pada 1 November 2017 sehingga 30 Mei 2018.

\"\"

Dalam sidang media tersebut, saudara Syafiq Zhafri turut menyatakan bahawa kempen #KITAUNITEN merupakan salah satu projek gerakan sosial yang cukup bagus bagi Skuad Media Uniten melebarkan sayap mereka kepada seluruh warga universiti kerana mereka merupakan salah satu badan utama pemberitahuan maklumat melalui media sosial. Melalui penggunaan media sosial, pihak mereka mempunyai lebih banyak peluang untuk mempromosikan kempen #KITAUNITEN dengan lebih dekat agar dapat menaikkan semangat juang yang tinggi untuk berbakti kepada universiti.

Majlis pra pelancaran telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Mohd Zamri Yusoff, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Uniten. Ketika berucap, beliau menyatakan bahawa terdapat pelbagai usaha yang telah dirancang oleh pihak pengurusan tertinggi seperti program ‘Management Walkabout at Student Residence’ (MAWAR) untuk mengeratkan hubungan dengan para pelajar.

\”Saya berharap agar seluruh warga Uniten dapat memberikan sokongan moral dan fizikal demi menjayakan kempen tersebut secara besar- besaran. Semoga kempen ini dapat memberikan impak yang besar terhadap seluruh warga universiti secara umumnya.\” tambah beliau

\"\" \"\"

Kami daripada pihak NADi ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Skuad Media UNITEN dan Majlis Perwakilan Pelajar untuk kempen #KITAUNITEN. Semoga seluruh warga UNITEN dapat berganding bahu dan lebih komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang dipikul.

Disediakan oleh: Nur Syazwani Jamaludin
Sumber foto: Skuad Media Uniten

Leave a Comment

Your email address will not be published.