Semangat \’Kalsom\’ : Siswi UNITEN bersama fasilitator terpilih sertai kem motivasi selama lima hari

\"kalsom\"

Walaupun sibuk dengan pelbagai tugasan sebagai seorang pelajar tahun akhir Ijazah Pengurusan Perniagaan (Sumber Manusia) Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Nursyahirah Zamri, 21, tidak pernah lupa tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat umum dengan menyertai Projek Kalsom 22 di Kuala Kubu Baru, Selangor, Julai lalu.

Nursyahirah salah seorang daripada 78 fasilitator dipilih daripada 300 permohonan seluruh dunia untuk menyertai kem motivasi selama lima hari itu.

Kem ini mencatat nama di dalam Malaysian Book of Records (MBOR) sebagai kem motivasi pelajar yang memakan masa paling lama di Malaysia.

\”Berbeza dengan kem motivasi yang pernah saya ikuti sebelum ini, kem ini menitikberatkan pembangunan akademik dan bukan akademik pelajar dengan memberikan inspirasi, malah fasilitator belajar sesuatu daripada peserta.

\”Kem ini menggunakan bahasa Inggeris, pendedahan mengenai peluang pendidikan selepas sekolah menengah dan semangat \’Kalsom\’ sebagai tunjang utama program ini.

\”Jika pada awalnya pelajar tidak boleh bercakap bahasa Inggeris tetapi selepas lima hari di sini, saya bangga ada di amtara mereka yang berdiri di hadapan rakan dan petah berhujah menggunakan bahasa Inggeris,\” katanya.

Program dikelolakan Kelab Belia Kalsom ini turut mendapatkan kerjasama Bursa Malaysia untuk tahun keda dan satu-satunya organisasi pertubuhan pelajar yang mendapat tajaan bersempena Bursa Bull Charge 2015 tahun lalu.

Ia turut disertai fasilitator dari Universiti of Bristol melalui program yang dikelolakan Royal Commonwealth Society Bristol. Semua 300 pelajar kem ini daripada golongan kurang bernasib baik, tetapi mempunyai potensi dan prestasi cemerlang di sekolah sekitar Selangor.

Sementara itu, UNITEN sangat menekankan pembangunan jati diri pelajar melalui aktiviti kokurikulum dengan mewujudkan sistem pemarkahan bagi setiap aktiviti kokurikulum yang diikuti pelajar.

\”Penting bagi saya memastikan apa yang saya pelajari sepanjang pembabitan diri ini di dalam semua aktiviti sama ada di luar atau dalam universiti dapat dikongsi bersama pelajar baru agar kita saling belajar serta mendapat inspirasi,\” katanya yang juga ahli aktif dalam beberapa pertubuhan dalam UNITEN seperti Emceevengers dan Pertubuhan Rakan Sebaya.

Bersempena Majlis Konvokesyen UNITEN ke-19 pada 20 hingga 22 Ogos lalu. Nursyahirah dipilih Ikon Sukarelawan UNITEN.

Projek Kalsom bermula tahun 1993 dikelolakan sekumpulan pelajar Malaysia di United Kingdom (UK) yang tertarik dengan kisah kepayahan hidup dilalui seorang ibu tunggal, Kelthum Abdullah  dari Kelantan, yang bekerja keras menyara kehidupan dan membantu dengan mengumpul dana bagi membiayai kos pendidikan anaknya.

Kumpulan pelajar yang juga pengasas Projek Kalsom ini mengorak langkah mendidik dan memotivasi pelajar sekolah menengah luar bandar yang kurang bernasib baik.

Projek Kalsom yang pertama diadakan di Jerantut, Pahang dan diteruskan selama lebih dua dekad.

Tahun ini, Projek Kalsom 22 disasarkan untuk memberi impak positif kepada pelajar sasaran serta komuniti setempat.

Modul dimulakan dengan aktiviti mengenal pasti kekuatan dan kelemahan individu seterusnya memupuk keyakinan diri.

Layari www.projek-kalsom.org untuk maklumat lanjut mengenai Projek Kalsom 22.

(Dipetik daripada Harian Metro, 27 Ogos 2016)

Leave a Comment

Your email address will not be published.