Keladi bunting atau nama saintifiknya adalah Eichhornia Crassipes merupakan sejenis tumbuhan aquatik dalam kategori keladi. Tumbuhan ini bersifat akar rerambut dan mempunyai bahagian pangkal batang atau pelepah keladi yang seakan bunting dan bertujuan sebagai pelampung. Keladi bunting kebiasaanya tumbuh meliar dan cepat membiak disekitar tasik, paya, lombong dan juga lain-lain kawasan yang berair tenang.
Terbaru, pensyarah dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang diketuai oleh Dr. Adlansyah Abd Rahman dan dibantu oleh bekas pelajar UNITEN merangkap pengasas HiGi Energy sendiri iaitu Jackie Yap telah berjaya menghasilkan arang seumpamanya daripada keladi bunting. Inovasi dan kreativiti daripada pensyarah dan juga penyelidik di UNITEN berjaya melahirkan LiLi, satu produk yang berasaskan arang yang jauh lebih murah, mesra alam dan juga mesra pengguna.
Menurut Dr Adlansyah, keunikkan produk ini adalah ianya mampu untuk menghasilkan asap pembakaran yang kurang daripada 8% dan kadar masa pembakaran yang jauh lebih lama jika dibandingkan dengan produk arang yang sedia ada di pasaran.
Proses penyelidikan dan usaha gigih selama satu tahun setengah ini berjaya menghasilkan produk yang mampu berdaya saing dalam pasaran pengeluaran bahan api berasaskan arang terutamanya di pasaran peringkat global.
Penghasilan arang daripada keladi bunting dihasilkan sepenuhnya di Filipina oleh HiGi Energy dengan menggunakan khidmat tenaga masyarakat setempat dan seterusnya produk ini dipasarkan di pasaran tempatan. “Lebih daripada 65% bilangan rakyat tempatan di Filipina masih menggunakan kayu dan arang sabagai bahan api untuk memasak makanan harian” ujar Jackie.
Menurut beliau lagi, kos pembelian bahan api lain seperti gas memasak adalah jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan penggunaan arang. Justeru itu, kebanyakkan masyarakat tempatan di Filipina lebih gemar menggunakan arang sebagai bahan api untuk memasak.
Sememangnya UNITEN mampu untuk melahirkan lebih ramai penyelidik yang jauh lebih kreatif, berfikiran jauh dan berdaya maju dalam arena penyelidikan inovasi ini. Nescaya produk seumpama LiLi ini yang menggunakan bahan semula jadi dan kemudian diproses menjadi arang mampu menarik lebih ramai pengguna pada masa akan datang. Maka tidak hairanlah produk daripada sejenis tumbuhan aquatik ini mampu dijadikan bahan api dan seterusnya menebusi pasaran di peringkat global.