Kehidupan Kita Dan Gelandangan

KEHIDUPAN KITA DAN GELANDANGAN

Pada malam merdeka yang lalu 31/8/2019, aku dipelawa oleh salah seorang sahabat baik ku sejak dari bangku sekolah lagi, untuk memberi makanan dan peralatan kebersihan kepada gelandangan di sekitar ibu kota. Ini adalah misi kedua beliau menolong gelandangan di ibu kota, aku amat bangga kerana mempunyai rakan seperti beliau kerana ketika berada dalam pelbagai kemelut kehidupan beliau masih lagi memikirkan masalah umat.

Dalam perjalanan aku menuju ke ibu kota menempuhi keheningan malam, pemandangan sekeliling aku disajikan kehidupan golongan pemuda yang berlainan dengan hidup aku. Kehidupan mereka pada malam minggu diisi dengan kegiatan konvoi motosikal beramai-ramai, aku sedar bahawa kehidupan aku bukan seperti mereka.

Sambil memulas throttle motor ysuku aku dengan enak, sambil itu aku berfikir tentang kehidupan, bahawasanya  jalan kehidupan kita semua berlainan. Allah telah menentapkan jalan kehidupan bagi setiap manusia itu berlainan rupa. Disini aku belajar bahawa kita tidak boleh sesuka hati meletakkan tanggapan kepada sesiapa sahaja kerana kita tidak berhak berbuat begitu. Apatah lagi memukul rata semua orang yang tidak selari dengan agenda kita, hidayah itu sesungguhnya milik Allah.

Akhirnya aku sampai ke destinasi yang diberitahu oleh sahabatku. Aku dipertemukan dengan sahabat-sahabat yang lain juga. Kami mula mengagihkan makanan dan kit kebersihan di kawasan Chow Kit terlebih dahulu. Setelah sampai di Chow Kit sahabatku pelik dan berkata \”Eh tak ramai pulak gelandangan malam cuti ni\” kemudian rakanku lagi sorang menyampuk \”Hmm diorang balik kampung kot\” aku ketawa kecil mendengar perbualan mereka.

Kami sudah risau makanan tidak dapat dihabiskan, kerana gelandangan di Chow Kit terlalu sedikit. Pada awal ketibaan kami, kami bertemu dengan dua orang nenek yang sedang duduk di atas kotak. Beliau bertanya kepada kami dari mana dan bermacam-macam soalan. Perasaan aku ketika itu amat sedih melihat keadaan mereka. Aku termenung panjang sambil memikirkan dari mana mereka datang dan bagaimana kehidupan mereka sebelum ini. Aku kuat berfikir dan berimaginasi kerana aku suka melahirkan pengajaran dari sesebuah peristiwa yang aku perhati. 

Sambil kami membahagikan barangan, tiba-tiba kami di serbu oleh ramai lagi gelandangan. Entah dari mana mereka datang kami pun taktahu. Aku bersyukur kerana lebih ramai gelandangan lagi cepat kerja habis. Kami dikerumuni oleh kanak-kanak yang begitu ramai, aku sekali lagi sebak dan gembira melihat mereka riang berebut mengambil barangan yang diberikan. 

Kami meneruskan lagi perjalanan kami mencari gelandangan kerana baki barangan masih banyak lagi untuk diberikan kepada mereka. Di kawasan berdekatan Chow Kit juga kami bertemu lagi dengan sekumpulan gelandangan terdiri dari pakcik-pakcik tua. Mereka sedang tidur nyenyak di kawasan itu. Sekali lagi membuatkan aku sebak, kerana aku sedar bahawa tidak bersyukurnya aku kerana kehidupan aku serba serbi lengkap tapi aku masih tidak mempunyai kesedaran untuk membantu golongan susah. 

Kami meletakkan barangan berhampiran dengan mereka kemudian kami bergerak lagi menuju ke Masjid Negara. Alangkah terkejutnya di kawasan luar Masjid Negara terdapat ramai lagi gelandangan yang sedang tidur nyenyak. Kelihatan mereka tidur bersepah, ada yang tidur beralaskan kotak, ada yang tidak beralaskan apa-apa, ada juga yang tidur beralaskan comforter. Ada juga yang masih berjaga ketika kami sampai, kebanyakan gelandangan disitu terdiri daripada golongan pakcik-pakcik. 

Aku amat kasihan melihat mereka, serta merenung nasib dan perasaan mereka diuji sebegini rupa. Melihat wajah mereka yang sedang menikmati tidur dengan nyenyak menyebabkan hati aku runtun sekali lagi memikirkan adakah mereka tidak mempunyai keluarga? Ataupun kehidupan mereka sudah menjadi seperti ini sejak dari mula lagi. Apakah juga mereka dibuang oleh anak-anak mereka seperti yang kita selalu dipedengarkan tentang kisah anak-anak membuang ibu-bapa mereka tanpa belas kasihan? Semakin aku mencipta scenario-scenario di dalam fikiran aku semakin itu aku sedih dan bermuhasabah melihat kembali apa yang dilakukan dalam kehidupan aku.

Aktiviti kami pada malam itu berakhir di kawasan masjid negara, aku segera memulas throttle ysuku aku menuju kerumah kerana jam sudah menunjukkan pukul 4 pagi. Suasana subuh yang dingin dan nyaman menemani dan mengiringi aku sepanjang perjalanan aku menuju kerumah.  Sekian terima kasih.

 

Muhammad Farhan Helmy

-Seorang anak wartawan-

Leave a Comment

Your email address will not be published.