Ke Arah Mahasiswi Berilmu Dunia dan Akhirat

\"\"

KAJANG, 25 Oktober –  Sebuah program bual bicara ‘Fiqh Wanita 1.0’ yang diberi tajuk ‘Sudah Sempurnakah Solat Kita?’ telah diadakan pada hari Rabu yang lepas. Program ini merupakan sebuah perkongsian ilmiah yang dianjurkan oleh Hal Ehwal Wanita (Helwani), sub-unit dibawah pimpinan Persatuan Pengajian Islam (PPI UNITEN). Program ini dikelolakan oleh Helwani dengan ditujukan khas buat para pelajar perempuan UNITEN sahaja.

Program Fiqh Wanita ini merupakan program yang dianjurkan hampir setiap semester dengan berlainan tajuk sejak awal unit Helwani ditubuhkan. Ia diadakan bertujuan untuk memberi kefahaman kepada golongan mahasiswi mengenai isu fiqh yang wajib difahami.

Ceramah santai telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustazah Siti Fathiyah Mohd Razi, pensyarah Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad dan antara intipatinya  ialah mengkaji semula kesempurnaan solat seseorang muslimat yang merupakan tiang agama dan suatu kewajipan bagi umat Islam.

Nur Izzati Zahari, seorang mahasiswi tahun kedua yang hadir pada malam itu berkongsi pendapat serta perasaannya selepas mendengar ceramah Fiqh Wanita itu. “Kuliah ini sangat bermanfaat dan saya kira sangat menarik kerana ianya khusus untuk muslimat sahaja. Ini memudahkan kita untuk bertanya apa sahaja soalan yg ingin diajukan kepada penceramah tanpa rasa malu atau segan.”

 

\"\"

Sesi perkongsian yang mengambil masa selama 2 jam ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan. Nadia Alia Salleh yang merupakan pengarah program serta Helwani berkata “Syukur kepada Allah kerana program ini berjalan dengan sangat lancar. Bilangan pelajar yang turut serta dalam program ini sangat membanggakan kerana ianya lebih daripada bilangan yang telah disasarkan. Sambutan yang sangat baik terutamanya dalam kalangan pelajar yang baru.”

Apabila ditanya mengenai penganjuran program yang lain pada masa hadapan, Nadia mengatakan bahawa Helwani akan mengadakan lagi program-program sebegini dengan membawa pelbagai tajuk yang berkaitan dengan isu-isu semasa dengan izin Allah kelak.

Program ilmiah ini merupakan program pertama untuk siri “Fiqh Wanita” bagi semester ini dan kami dari NADi UNITEN berharap pihak Helwani akan meneruskan siri ini dengan mengadakan lebih banyak aktiviti dan program sebegini pada masa akan datang.

 

Ikuti perkembangan terkini PPI UNITEN di Facebook (@ppiuniten) dan Instagram (@ppiuniten).

 

Disediakan oleh: Izyan Nabilah binti Zulkanain
Nur Syafiqah binti Noor Hanafiah

Sumber foto: Facebook Persatuan Pengajian Islam UNITEN

Leave a Comment

Your email address will not be published.