Kayuhan UNITEN Cycling Club diiktiraf Malaysia Book of Records

\"\"

PUTRAJAYA, 25 Julai – Seramai 20 orang pelajar daripada Kelab Berbasikal Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) atau lebih dikenali sebagai UNITEN Cycling Club telah berjaya mengharumkan nama universiti apabila berjaya mencipta rekod di The Malaysia Book of Records (MBOR) dalam program ‘Longest Distance 24 Hours Electric Pedal Assisted Bicycle (EPAB) Ride’ dengan berbasikal sejauh 540.69 km dalam tempoh 24 jam tanpa henti.

Program yang julung kalinya diadakan ini telah dianjurkan oleh Pusat Keusahawan UNITEN dengan kerjasama Unit Sukan & Kebudayaan, Pusat Hal Ehwal Pelajar UNITEN.

Sebanyak 5 pecahan pasukan dibuat daripada UNITEN Cycling Club dan kayuhan pasukan pertama yang bermula pada 23 Julai jam 8.30 pagi, telah berlepas ke Dataran Banting diikuti dengan kumpulan kedua yang menunggu di sana untuk kembali ke UNITEN mengikut laluan yang telah dipilih berdasarkan beberapa faktor keselamatan.

Menurut ketua pasukan iaitu Wan Ahmad Taufiq bin Wan Mohd Burhanuddin, beliau telah membuat pemilihan peserta seawal dua minggu dan mereka yang terpilih ini telah berlatih pada setiap hari bagi meningkatkan daya ketahanan serta tumpuan untuk mencipta rekod ini.

“Sudah semestinya kami semua memerlukan stamina yang banyak dan keupayaan untuk berada di atas basikal buat tempoh masa yang agak lama. Pasukan pertama (Team A) yang memulakan kayuhan terpaksa berhati-hati kerana hujan lebat dan keadaan jalan agak licin disebelah pagi. Manakala Team B pula terpaksa meneruskan kayuhan dalam keadaan panas terik.” Katanya.

Taufiq turut menambah, perasaan risau terhadap masalah-masalah teknikal dan kecederaan semakin hilang apabila pasukan terakhir berjaya mencapai rekod sejauh 500km dalam masa 20 jam 58 minit. Kayuhan diteruskan di sekitar Putrajaya dan kawasan UNITEN sehingga mencukupi tempoh 24 jam, mencatatkan jarak sejauh 540.69km.

“Kami berharap agar rekod ini dijadikan inspirasi dan dorongan kepada semua pelajar UNITEN agar mereka lebih berminat untuk berbasikal di sekitar kampus sejajar dengan matlamat UNITEN untuk mengamalkan Green Campus” Tambah beliau.

Basikal keluaran syarikat VOLTRON SDN BHD yang digunakan oleh pelajar bagi mencipta rekod ini mematuhi standard EPAB iaitu MS2514 yang dibangunkan SIRIM Berhad, khusus untuk basikal elektrik dengan kelajuan maksimum 25 kilometer sejam. Namun, mereka terpaksa mengerah lebih tenaga untuk mencapai kelajuan yang lebih tinggi sehingga 30 kilometer sejam.

\"\"

 

 

 

Majlis penyerahan sijil Malaysian Book of Records telah diadakan di Dewan Seri Sarjana. Turut berlangsung ialah Majlis Pelancaran Ekosistem Keusahawanan bagi memperkenalkan Pusat Keusahawanan UNITEN (UEC) ini dan fungsinya dalam kalangan warga UNITEN.

Pelancaran Sikal Elektrik Rakyat 1 Malaysia (SER1M) juga dilakukan bagi memperkenalkan basikal elektrik yang telah diterima oleh pihak universiti secara percuma dari Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), justeru menyokong usul kementerian untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat bagi memelihara alam sekitar melaui penggunaaan kenderaaan yang tidak menggunakan petrol.

Seiring dengan itu, UNITEN telah menjadi antara 6 universiti yang menerima 200 basikal dalam usaha merealisasikan Kampus  Hijau atau ‘Green Campus’ dalam kalangan pelajar dan staf UNITEN.

Selaras dengan motif Pelancaran Ekosistem Keusahawanan ini, penyampaian Anugerah Geran Permulaan “SPROUT” untuk 10 pelajar yang layak juga akan diberikan. Pelajar – pelajar ini telah diberikan sejumlah modal untuk memulakan perniagaan dan akan dibimbing untuk menjadi usahawan yang mampan dan berdaya saing, sesuai dengan kehendak dan keperluan industri masa kini.

Kejayaan pusat keusahawanan ini perlu diteruskan lagi dengan termeterainya Memorandum Persefahaman antara Pusat Keusahawanan bersama 4 syarikat besar milik alumni UNITEN. Jaringan persefahaman ini dijalinkan adalah untuk mendapatkan sokongan moral dari segi motivasi dan latihan keusahawanan daripada pihak syarikat kepada mahasiswa UNITEN.

Majlis Pelancaran Ekosistem Keusahawanan dan Sikal Elektrik Rakyat 1 Malaysia ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pendidikan Tinggi.

Kehadiran tetamu kehormat daripada pihak pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kementerian Pendidikan Tinggi, Syarikat VOLTRON, alumni UNITEN dan lebih 400 orang tetamu  telah memberikan impak yang positif kepada pengenalan Pusat Keusahawanan UNITEN dalam kalangan warga UNITEN sendiri.

Dalam ucapan perasmian tersebut, Dato’ Kamel Mohamad menegaskan peri pentingnya kewujudan pusat keusahawanan dalam sesebuah institusi pengajian dalam proses transformasi negara ke arah negara yang membangun dan berpendapatan tinggi.

“Penubuhan pusat keusahawanan merupakan batu asas kepada pelan jangka masa panjang ini. Ia juga merupakan satu keperluan bagi setiap IPT untuk memenuhi aspirasi kerajaan dalam pembentukan minda keusahawanan. Peringkat pengajian tinggi merupakan masa yang sesuai kerana pelajar lebih matang dan berkeupayaan untuk mengambil tanggungjawab dalam sesuatu bidang yang diceburi”, kata Dato’ Kamel ketika menyampaikan ucapan perasmian pagi tadi.

Beliau juga beharap agar pelancaran Ekosistem Keusahawanan  dan pelancaran Sikal Elektrik 1 Malaysia mampu memberi impak yang positif kepada universiti dan negara secara umumnya.

Majlis ini berakhir dengan sesi bergambar dan upacara penyampaian medal kepada para peserta berbasikal sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

Pihak NADi UNITEN ingin mengucapkan tahniah kepada 20 orang peserta berbasikal ‘Longest Distance Pedal Assisted Bicycle (EPAB) Ride dan 10 orang penerima Anugerah Geran Permulaan “SPROUT” kerana telah berjaya melakar kejayaan yang bermakna untuk seluruh warga UNITEN.

\"\"

 

\"\"

Disediakan oleh : NUR SYAZWANI BINTI JAMALUDIN

Sumber gambar : Facebook Universiti Tenaga Nasional

 

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published.