Hebat teknikal, Akhlak terpuji – Sembang Santai bersama Naib Canselor

Perkongsian ilmu dan wacana minda bersama Naib Canselor di Grand Halaqah Finale

PUTRAJAYA , 5 JANUARI 2017 – “Sebagai pelajar Institut Pengajian Tinggi, mereka seharusnya sedar bahawa merekalah pemangkin pembangunan masa depan negara. Masalah akhlak di kalangan pelajar IPT merupakan satu cabaran.” ujar Ybhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin dalam ceramahnya di Grand Halaqah Finale – Sembang Santai bersama Naib Canselor yang diadakan di Masjid UNITEN semalam.

Menurut beliau, pihak pengurusan memikul amanah untuk melahirkan graduan UNITEN yang mempunyai prestasi kerja cemerlang dan juga tingkahlaku yang terpuji.

Kita mahukan graduan yang bukan sahaja mampu memberi sumbangan kepada masyarakat, atau mempunyai kepakaran-kepakaran tertentu, tetapi graduan yang mempunyai akhlak yang mulia.

Dalam ceramahnya yang bertajuk ‘Profesional Mukmin’, Dato’ Prof. Kamal telah menyampaikan aspirasi dan harapan beliau serta menerangkan lima aspek penting untuk menjadi seorang siswa dan siswi yang hebat dalam singkatan CLASS iaitu Competent, Law abiding, Ambition, Speak dan Speed.

“Sekiranya kita mempunyai ciri-ciri tersebut, kita adalah pelajar yang hebat, seimbang dari segi teknikal dan penguasaan ilmu, pada masa yang sama memiliki akhlak terpuji.” katanya.

Beliau juga turut mengingatkan pelajar untuk  menggunakan saluran yang betul dalam memberikan pandangan konstruktif kepada pihak pengurusan dan sentiasa berhati-hati dalam menyuarakan pendapat di media sosial berhubung dengan isu-isu semasa yang melibatkan universiti.

Antara tetamu jemputan program ceramah itu adalah wakil dari Islamic Relief Malaysia (IRM) iaitu Prof. Dr. Azni Idris, Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Islamic Relief Malaysia bagi menerima sumbangan sebanyak RM45,392 dalam berbentuk cek yang akan disalurkan  kepada negara-negara yang sedang bergolak seperti Syria dan juga Rohingya. Turut hadir dan berucap adalah Ustaz Dzulkefli bin Zainal Abidin, Pengarah Pusat Islam UNITEN.

“Program halaqah diperkenalkan dengan matlamat mewujudkan islah dalam kalangan pelajar di samping mengajak para pelajar supaya mendekati dan mempunyai hubungan dengan masjid.” ujar Ustaz Dzulkefli ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam program Grand Halaqah tersebut

Menurut beliau, dengan matlamat-matlamat demikian, diharapkan program anjuran Sahabat Al-quran (SAQ) dan Persatuan Pengajian Islam (PPI)  ini akan diperbanyakkan dan berterusan  supaya dapat menyuntik kerohanian kepada generasi pelajar UNITEN.

Pemberian sumbangan kepada wakil Islamic Relief Malaysia.

Layari Facebook Sahabat Al-Quran (SAQ) UNITEN dan juga PPI UNITEN
Untuk maklumat lanjut dan aktiviti-aktiviti menarik di masa yang akan datang.

Disediakan oleh: Azrif Asraf Azman & Raja Noor Hafawati Raja Azman Shah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *