PUTRAJAYA, 23 OGOS – Hasrat Allahyarham Muhammad Haziq Janudin, 23, yang maut dalam kemalangan ketika dalam perjalan pulang ke kampus pada 31 Januari lalu akhirnya tertunai apabila dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan di Majlis Konvokesyen ke-19 Universiti Tenaga NAsional (UNITEN) pada 22 Ogos lalu.
Allahyarham yang diwakili ibunya, Zainah Bt Md Jali, dan kakaknya, Nurul Nadia Janudin, 30 ketika menerima ijazah berkenaan oleh Pro-Canselor UNITEN, YBhg. Tan Sri (Dr.) Leo Moggie telah mendapat tepukan gemuruh oleh 1500 yang hadir pada hari berkenaan termasuk ara graduan dan ibu bapa.
“Arwah pernah berpesan kepada saya untuk memastikan beliau habis belajar pada tahun ini. Syukur saya dapat berada disini untuk menunaikan hasrat beliau,” ujar Nurul Nadia ketika sesi temuramah selepas majlis tersebut.
Allahyarham merupakan salah seorang peserta UNITEN Global Exchange & Mobility (360⁰ GEM) yang menempatkan beliau untuk menyambung sesi pembelajaran di Mainz, Jerman pada 2015.
“Sejujurnya saya rasa terkilan kerana beliau tidak dapat menyambung semua cerita beliau semasa di Jerman, kerana menjadi lumrah seorang ibu untuk seronok mendengar cerita seorang anak apatah lagi setelah kematian abangnya Muhammad Hilmi 12 tahun lepas,” ujar Zainah Md Jali.
Dalam kejadian tersebut, Allahyarham Muhammad Haziq dan bapanya, Janudin Sukadi telah maut ditempat kejadian apabila kenderaan yang dinaiki mereka dari arah Segamat, Johor bertembung dengan kenderaan lain dari arah bertentangan.
“Arwah dari dahulu lagi sering bersaing dengan saya dalam semua aspek terutamanya akademik namun kali ini saya akui beliau telah ‘menang’ dengan dijemput oleh Tuhan terlebih dahulu,” tambah Nurul Nadia dalam nada sebak.