Harapan terus bersinar dengan SHINE Learning @UNITEN

\"\"

KAJANG, 14 Oktober – Universiti Tenaga Nasional telah menerima kunjungan 40 orang pelajar dan 5 guru pengiring dari SMK Cheras Jaya bagi program Shine Learning yang dikelolakan oleh Kolej Pengajian Asas dan Diploma Uniten.

Lawatan sambil belajar yang diadakan di Auditorium Library dan CFDS ini bertujuan untuk membantu pelajar SMK Cheras Jaya dalam persediaan menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi.

Disamping mereka diberi pendedahan dan suasana belajar di UNITEN, mereka juga turut menerima slot pemantapan insan dan motivasi dengan harapan para pelajar mendapat dorongan untuk terus berusaha dalam mengejar cita-cita dan memantapkan akhlak.

SMK Cheras Jaya merupakan salah satu sebuah sekolah angkat di bawah projek SHINE @ UNITEN. Justeru itu, pihak Jabatan Pemasaran Dan Komunikasi Korporat UNITEN ingin membantu pelajar SMK Cheras Jaya untuk memantapkan lagi pemahaman mereka dalam subjek Matematik Tambahan dan Matematik Moden.

Menurut Dr Rosmiza Mokhtar Timbalan Dekan CFDS ketika menyampaikan taklimat hala tuju selepas SPM, matlamat adalah penting dan ianya boleh memotivasikan diri untuk terus berusaha.

“Jangan biarkan keputusan SPM yang menentukan halatuju kita, tetapkan matlamat dan cita-cita terlebih dahulu. Setiap apa yang kita lakukan pasti akan ada cabaran dan rintangan. Cabaran dan rintangan akan dapat diatasi sekiranya kita ada matlamat yang ingin dicapai,” tambah beliau.

\"\"

Setelah tamat program ini, pelajar-pelajar SMK Cheras Jaya memberikan respon yang positif mengenai aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan.

“Program ini telah banyak membantu saya untuk memahami lagi dengan lebih mendalam berkaitan matapelajaran Matematik. Ceramah mengenai hala tuju selepas SPM juga telah membuatkan saya yakin bahawa dimana-mana sahaja terdapat banyak peluang untuk melanjutkan pelajaran pada yang peringkat yang lebih tinggi”, kata Puteri Nur Aliya salah sorang pelajar SMK Cheras Jaya.

\"\"

Muhammad Syafiq, salah seorang pelajar SMK Cheras Jaya juga berasa gembira kerana dapat mempelajari banyak perkara baru apabila menghadiri program ini.

“Saya berharap dengan ilmu yang saya peroleh pada hari ini seperti mengenai cara solat yang betul akan saya amalkan untuk berjaya bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat juga”.

Kami dari NADi UNITEN ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pelajar SMK Cheras Jaya dan semoga kesemua calon SPM di sekolah ini diberkati Allah dan dapat menjawab soalan peperiksaan dengan tenang serta dipermudahkan urusan.

Disediakan oleh: Nurul Izzahtul ‘Ain Binti Mohd Razih.

Sumber Foto: Facebook CFDS Uniten

 

Leave a Comment

Your email address will not be published.