GALAKAN INSPIRASI PELAJAR

 

imam muda
Dari kiri: Imam Muda Hassan, Tn Hj Burhanuddin Md Radhi, Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha, Prof Madya Dr. Mohd Azree Idris bergambar bersama moderator, Dr. Mardian Shah Omar (kanan).

PUTRAJAYA, 28 JULAI – Rentetan Bicara Inspirasi Kejayaan yang buat pertama kalinya diadakan pada tahun 2015, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) melalui Yayasan Canselor UNITEN (YCU) telah mengadakan siri kedua untuk acara ini yang diadakan di Dewan Seri Sarjana, UNITEN.

Acara yang telah dirasmikan oleh Naib Canselor UNITEN, Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha itu telah dihadiri oleh lebih 1000 peserta yang rata-ratanya merupakan pelajar sekolah dari 11 buah sekolah sekitar Putrajaya dan Selangor.

“Telah menjadi teras kepada YCU untuk mengadakan acara pembangunan komuniti seperti ini, selain aktiviti-aktiviti tanggungjawab korporat sosial (CSR) yang kami jalan kan sebelum ini, antaranya kem-kem motivasi, bantuan derma, dan penyerahan buku dan bilik-bilik komputer,” ulas Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin tentang kesinambungan acara ini.

Pada tahun ini, Bicara Inspirasi Kejayaan menampilkan 3 panelis yang tersohor dalam bidang masing-masing seperti Tuan Haji Burhanuddin Md Radhi atau lebih dikenali melalui suaranya sebagai ‘Tok Dalang’ dalam siri kanak-kanak Upin&Ipin, yang turut merupakan Pengarah Urusan Les Copaque dan juga penerbit siri tersebut.

Turut hadir dalam forum ini adalah Imam Muda Hassan yang merupakan Juara Program Imam Muda Musin Kedua Astro dan juga pemilik Hassan Adli Boutique, yang menyampaikan galakan serta dorongan kepada pelajar-pelajar yang hadir yang rata-ratanya akan menduduki peperiksaan SPM dan PT3 pada hujung tahun ini.

“Memandangkan sambutan tahun ini lebih baik sari siri pertama, kami menjangka jemputan untuk siri seterusnya akan diperluaskan ke negeri-negeri sekitar Selangor seperti Negeri Sembilan dan Melaka supaya lebih banyak peserta dapat menerima impak daripada program seperti ini,” tambah beliau lagi.

Selain 2 selebriti tanah air tersebut, seorang pakar Neurolinguistic Programming (NLP) dari UNITEN, Prof. Madya Dr. Mohd Azree Idris turut tampil berkongsikan pengalaman beliau dalam menceburi satu bidang baru yang bakal memberikan impak khususnya kepada pelajar serta penuntut institusi pengajian tinggi.

Siri Ke-2 Bicara Inspirasi Kejayaan ini telah mendapat sokongan berbentuk tajaan dari pelbagai pihak, antaranya Tenaga Nasional Berhad, UNITEN R&D Sdn. Bhd., Permodalan Nasional Berhad, Jambatan Kedua Sdn. Bhd., Bank Islam Maaysia Berhad dan Kapar Energy Ventures Sdn. Bhd.

imam muda 2
Tn. Hj. Burhanuddin Md. Radhi (2 dari kanan) turut sempat berseloka menggayakan suara Tok Dalang dari siri Upin & Ipin

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *