PELAN Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang lebih dikenali sebagai PPPM (PT), dirangka berpaksikan lima aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan, memerlukan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk bertindak sebagai jantung negara yang bertanggungjawab membekalkan bakat terbaik untuk negara.
IPT harus mempamerkan sifat eksklusif seperti dinyatakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya terus relevan, dirujuk dan dihormati, bukan sahaja pada peringkat kebangsaan malah mencakupi wilayah serantau dan di persada dunia.
Landskap pengoperasian sistem pendidikan tinggi akan jauh berubah seiring dengan 10 lonjakan diketengahkan PPPM (PT) bagi memperkasakan lagi institusi pengajian tinggi. Empat lonjakan pertama lebih berkisar kepada keberhasilan yang diukur menerusi kelahiran graduan holistik dengan minda keusahawanan dan seimbang, pemupukan bakat pendidikan cemerlang, komuniti yang belajar sepanjang hayat serta graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkualiti.
Enam lonjakan seterusnya dianggap sebagai pemangkin kepada kecemerlangan IPT, meliputi kemampanan kewangan, pemantapan tadbir urus, ekosistem inovasi, pengantarabangsaan, pembelajaran dalam talian dan transformasi penyampaian pendidikan tinggi.
Apakah peranan IPT dalam menyahut hasrat untuk mencapai agenda transformasi negara? Bagi membolehkan Malaysia mencapai impian bagi menjadi kuasa ekonomi disegani, IPT perlu berganding bahu supaya sentiasa berdaya saing seiring keperluan global.
Realisasi aspirasi PPPM (PT)
Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) meliputi universiti berkaitan kerajaan seperti Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) turut tidak mahu melepaskan peluang, bersama-sama berusaha menjalankan tanggungjawab dan peranan dalam merealisasikan aspirasi PPPM (PT).
Dalam menzahirkan graduan holistik, bercirikan keusahawanan dan seimbang seperti disaran oleh Lonjakan Pertama, tampuk kepemimpinan UNITEN mengorak selangkah ke hadapan apabila menubuhkan Pusat Keusahawanan UNITEN yang bertanggungjawab memupuk minda keusahawanan di kalangan mahasiswa.
Pengenalan subjek berprinsipkan asas keusahawanan, meliputi inovasi, etika perniagaan dan pengurusan kewangan dilihat sebagai pemangkin melahirkan graduan berjiwa usahawan yang berkualiti dan berjaya. Inisiatif ini, selari dengan Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT yang dilancarkan pada awal 2010 untuk melahirkan usahawan atau graduan yang bekerja sendiri.
Dalam menyahut Lonjakan Kedua yang menekankan kepada kecemerlangan bakat, UNITEN merangka skim perkhidmatan dwi-laluan bagi ahli akademik yang membolehkan universiti mampu menarik, mengambil dan mengekalkan bakat terbaik di dalam pengajaran dan penyelidikan.
Tingkat tahap kemahiran
Lonjakan Ketiga menekankan betapa pentingnya pembelajaran sepanjang hayat (PSH) manakala Lonjakan Keempat mengutarakan keperluan negara untuk peningkatan 2.5 kali ganda enrolmen TVET menjelang 2025.
Dalam konteks Tenaga Nasional Berhad (TNB), pekerja teknikalnya yang berkelulusan sijil akan melalui program peningkatan tahap kemahiran dan latihan semula menerusi sinergi di antara UNITEN dan TNB Integrated Learning Solution Sdn Bhd (ILSAS).
Selari dengan tujuan Lonjakan Kelima yang menekankan kemampanan kewangan, UNITEN mempergiatkan usaha memakmurkan sumber pendapatannya bagi pengoperasian universiti dan membantu warga pelajar kurang berkemampuan menerusi penubuhan dana endowmen seperti Tabung Amanah Zakat UNITEN (TAZU) dan Alumni Endowment Fund (ALEF), dana penyelidikan dan perundingan awam serta korporat.
Bagi mendokong Lonjakan Keenam yang memfokuskan usaha membudayakan tadbir urus universiti yang baik, UNITEN kini melalui gelombang transformasi dikenali sebagai BOLD2025 (Building Opportunities, Living Dreams) turut melihat kembali kepada keahlian dan peranan Majlis Penasihat Antarabangsa UNITEN.
Lonjakan Ketujuh dalam PPPM (PT), menyatakan pembentukan ekosistem inovasi yang kondusif adalah penting bagi mengarusperdanakan inovasi sebagai cerucuk utama kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
Justeru, UNITEN memperkukuhkan agenda penyelidikan dan pembangunan dengan memberi penekanan utama kepada pengkomersialan hasil penyelidikan seperti Automatic Rack In & Rack Out System bagi TNB, perisian INSPIRE dan GENIUS bagi pengurusan empangan serta Bio Vege Grout untuk tujuan pemulihan cerun tanah.
Keunggulan global yang ditekankan menerusi Lonjakan Kelapan memerlukan komitmen berterusan semua IPT untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan bertaraf global.
UNITEN memperbaharui strategi promosi dan pemasaran bagi menambah komposisi pelajar antarabangsa, baik pada peringkat siswazah mahupun pascasiswazah serta memperkukuhkan hubungan dengan pejabat kedutaan semua negara yang berpotensi menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelajar mereka.
Lonjakan Kesembilan adalah berpaksikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk menguruskan kesarjanaan pengajaran dan pembelajaran. UNITEN menerusi BOLD2025 kini giat membangunkan Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Besar-Besaran (MOOC) bagi subjek yang dikenal pasti sebagai bidang kepakaran UNITEN.
Akhir sekali, Lonjakan Kesepuluh berlandaskan transformasi penyampaian pendidikan tinggi turut melihat hubungan erat yang terjalin di antara KPT, IPT, industri dan komuniti. Dalam konteks ini, UNITEN senantiasa peka dengan segala perubahan yang berlangsung menerusi Pusat Perancangan Strategik dan Kualiti UNITEN agar dapat bergerak seiring dengan arus transformasi yang diterajui pihak KPT.
Sebagai universiti yang memiliki nic kepakaran dalam bidang tenaga, UNITEN mempunyai komitmen tinggi terhadap aspirasi dilaungkan PPPM (PT) untuk turut serta menjana lonjakan besar dalam pengoperasian sistem pendidikan tinggi di Malaysia.
Sumber : Berita Harian 24 Disember 2016
#uniten #unitenclipping